Friday, January 6, 2012

Pentingkah kenangan kita pada orang lain?

Kg. Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis circa 2006

Ini antara keindahan yang ada di kampung saya. Keindahan lama yang masih tersisa. Tersisa kerana dibawa arus masa.

Sawah itu tempat saya terjatuh kali pertama belajar naik basikal. Sawah itu juga menjadi padang permainan kami bila tiba musim menuai. Bermain dengan jerami dan miang hama padi. Bila balik, seluruh badan menjadi kemerah-merahan kerana gatal. Tapi, itulah waktu yang paling meriangkan.

Batas itu bermula dengan jalan tanah merah. Saya selusuri sekian lama untuk ke sekolah. Luka di lutut tersagat batuan jalan itu masih ada parutnya.

Hari ini, batas itu masih di situ. Cuma, ia telah menelan tapak rumah saya dibesarkan. Rumah yang mengumpul rasa suka dan duka. Saya menanggapi bahawa rumah itulah dunia saya yang terindah. Namun, bila masa menginjak pergi, rumah itu tidak sama lagi keadaannya. Tapi, saya akan sentiasa mengingati kemesraan rumah itu yang meneduhkan saya dari hujan dan panas dan menenangkan saya dalam apa jua keadaan ...


~~ perlu bermelankolik waktu ini ;(

No comments: