Wednesday, December 31, 2008

Cerita akhir tahun. Cerita perkahwinan 'abang' den ...

Sempena hari terakhir 2008 ini, aku mahu coretkan sesuatu mengenai hal ini ...


Banner di rumah pengantin perempuan. Ganas ahh ... kat kampung aku tak pernah buat pun cenggini! Kagum gila!

Majlis perkahwinan 'abang' ku yang kedua.

Aku ada abang ke? Hehehe ...

Tahun 2008 adalah tahun bertuah mak dan ayahku - terima 2 menantu. Tapi, mereka tetap tidak berpuas hati ... kerana aku masih utuh bertahan tanpa apa-apa sandaran. Hahahaha ...

Apa cerita 'abang' ku itu?

Well, seperti biasa, untuk orang yang awet muda sepertiku, dialog-dialog seperti "abangnya dah sudah, adiknya ni bila lagi?" atau "tu abang yang mana kahwin tu?" langsung tidak membuatkan aku berkecil hati. Maka, cerita ini cerita 'abang' den la ... bukan adik .. ingat tuu ...!





Bilik pengantin di rumah kami. Aku suka konsep simple tu. Tapi takkan nak guna konsep yang sama pulak for my big day? Apa barang tiru-tiru? Nyesal plak buatkan cenggini untuk dia. Ish ..! Pelamin tu, kat rumah pengantin perempuan je. Rumah kitaorang tak de buat pelamin. Alangkan set up meja makan beradab pun mak aku bising cam hape, ini pulak nak buat pelamin. Over her dead body warning nya (mak aku serabut dengan protokol, dan bukannya anti-culture).






Yang 6 keping ni gambar masa akad nikah yang berlangsung di Masjid Sijangkang (ye kot namanya - sebab kat situ lah tempatnya).

Saat dia mahu diakad tu, ternampaklah juga gabranya adikku itu. Tapi, cover baekkk punya. Yang aku hairan, tok kadi nya itu sangat mesra alam. Entah apa yang dia suka sangat dengan adikku itu, bertepuk tampar gurau-gurau bagai ... Kalau itu petanda sebuah kebahagiaan, Alhamdulillah.

Pengantin perempuan itupun sangat tenang. Bersedia betul. Kagum. Kagum. Kalaulah aku ... hmmpphh ... Haih, this is their story, not mine!
Ini pulak setelah selesai akad nikah. Satu kelegaan yang teramat kurasakan. Tempiasnya sampai ke aku. Hehehe.


Serupa tak muka kami? Aku dan adikku itu la ... bukan aku dengan bini Jawa dia tu. Ada orang kata adik aku tu mirip Dr. MAZA ex-mufti Perlis tu. Cuba korang peratikan, sama ke? I'm the proud sister then ...




Selepas akad nikah - upacara membatalkan wudhuk. Nak batal wuduk pun ada upacara? Hmmm ...

Kata adikku, "gua pegang pompuan pun tak pernah, ni disuruh bergaya bagai ... gila tak rock ..." - Padanlah .. sungguh kekok dan amateur kelihatannya.

Sekarang ni bertambah-tambahlah. Perkara cenggini tak payah ajar sangat, kan? Cepat betul pandainya.
Ini pun gambar-gambar posisi wajib yang perlu diambil untuk sebuah perkahwinan. Biasa la tu, kan? Aku suka kedua-duanya ... sebab aku yang tangkap ... huhu. Tapi, cantik la aku rasa ...



Ini sewaktu hari kenduri. Dua gambar pertama di rumah pengantin perempuan, dan gambar terakhir di rumah kami.

Alhamdulillah, segalanya lancar seperti yang dirancang. Tapi, aku memang sesungguhnya pasti mak dan ayah aku tak senang hati selagi aku yang tak lepas. Entah apa dikesahkan ntah kalau aku single-mingle ... aku gembira what ... tak bolehkah aku senang lenang gembira sekarang? Hisy!


After all, I don't think I'm marriage material. Enough said.


Selamat Tahun Baru semua.

Aku rasa cuak je untuk tahun baru ini.

Jangan tanya kenapa. Nervous. Nervous!!

Tuesday, December 30, 2008

Cantik

KOSMO! 29 Disember 2008


Gambar yang cantik, membuatkan aku terpaut padanya.

Pasangan yang sama cantik, sama padan. Menjadi bualan kerana beza umur dan cara mereka berkahwin.

Aku tidak mahu berbual tentang itu, tetapi hanya mahu mendoakan kebahagiaan mereka. Pasangan yang cantik.

Subhanallah. Memuji sebuah kejadian.

I'm backkk .. my hijrah

1 Muharram 1430.

Tekad baru. Permulaan yang baru. Tidak tahu berapa lama akan bertahan. Moga-moga, cukup lama untuk memulihkan segala semangat yang hilang.

Semoga di sini, kutemui kekuatan. InsyaAllah.

P/s: So, anda semua, blog ini sudah di 'resuscitate' ... doakan dia hidup lama ...

Monday, November 24, 2008

... and the joke had begun!

Entri sendal otak .. diterima daripada seorang teman ... :D


Potential problem with Obama Presidency ..

Saturday, November 8, 2008

Perkara yang membuatkan aku mahu membunuh sahaja pagi-pagi ni!

Cam cool pulak letak tajuk panjang-panjang gitu. Hee!

Ini cerita pagi cuti.

Hari ni terbangun awal setengah jam daripada waktu masuk Subuh. Rasa panas dan melekit. Terus aku mandi. Disebabkan dah lama tak mandi awal-awal sebelum Subuh, lepas mandi rasa macam suka saja.

Lepas Subuh, aku membaca sikit. Masih struggle menghabiskan biografi Kassim Ahmad tu, bila tiba-tiba aku rasa mengantuk balik. Kerling jam di laptop baru 7.30am. Tutup buku, dan menyelesakan diri, mulalah pelayaran.

Sebelum timbul niat membunuh tu, biar ku ceritakan situasinya terlebih dahulu.

Rumah sewaku sebenarnya diapit oleh jiran-jiran yang bekeluarga + anak-anak mereka antara 3-5 orang. Semuanya masih membesar dan berusia kekanak Ribena. Fine. Tak ada masalah.

Rumah sewaku, semi D ... dan selesa juga. OK juga itu.

Masalahnya, setiap kali kesempatan aku nak enjoy diri dengan tidur lebih sikit selepas solat Subuh di hari cuti (ini kadang-kadang saja dilakukan, kerana aku selalunya kurang gemar tidur semula lepas Subuh!), ada-ada saja cerita dari rumah kedua-dua jiran ini. Kalau yang tak di sebelah kanan, sebelah kiri yang berbuat onar.

Jiran yang di sebelah kanan mempunyai anak yang dalam fasa advance curiosity - Maka, banyaklah perkara-perkara biasa pada kita tetapi menjadi sangat amaze di matanya. Dan, aku syak, jiran aku ini adalah jenis ibu bapa yang tidak percaya kepada kekerasan dalam mendidik anak, maka, apa yang anak-anaknya buat, dilihat-lihat saja tanpa ada larangan. Kalau dilarang, mungkin membunuh kreativiti anaknya. Dan, percayalah, aku tiada masalah, walaupun kadang-kadang perangai anak-anaknya sangat tidak aku berkenan.

I don't find climbing over the car, banging the door grill is cute! It's annoying! Plus, kalau dah panjat-panjat, jatuh, melalak macam nak mampus, lagi aku pissed off.

Jiran di sebelah kiri, anak-anak dia ok. Tak ada masalah. Selalunya buat hal sendiri. Yang menjadi masalah, mak budak-budak tersebut. Bayangkan, dia akan menjerit sekuat hati yang boleh dengar satu taman perumahan tu bila dia marahkan anak-anaknya. Dan, jeritan itu berlaku pada bila-bila masa dia suka - tengah makan boleh, tengah azan berbunyi pun boleh (orangnya bertudung labuh bagai ... yang aku syak, banyaklah berhikmah!)
Dan, yang paling aku tak boleh terima, kalau kami bertemu pandang di laman (waktu sidai kain atau apa-apalah), dia akan buat-buat cakap kononnya dialah ibu yang paling lemah lembut bercakap dengan anak-anaknya, sedangkan kita dah dengar dia maki anak dia pagi tadi!

Aku rasa paling aman kalau kedua-dua jiran ini tiada pada hari cuti. Amaaaaaaaaaaaaaaan yang bepanjangan.

OK, niat membunuh itu tiba bila, tengah sedap tidur (dalam setengah jam) begitu, tiba-tiba, anak jiran di sebelah kanan menggoncang pintu grill rumahnya. Goncangan yang sangat menggegarkan yang datang daripada seorang budak lelaki berumur 5 tahun. Aku rasa hangin. Dah terjaga, tapi masih rasa mengantuk. Lalu, kutekup telinga dengan bantal. Hajat mahu sambung tidur.

Seminit kemudian, budak itu mengamuk lagi, dan kali ini disusuli dengan raungan yang sangat high pitch. Masalah rumah ini, ia tidak dibina dengan sistem kalis bunyi, dan raungan itu adalah perkara terakhir yang aku mahukan di pagi-pagi cuti begini! Kemudian kudengar maknya bersuara ... "Along ... dah la".

Cis! Terasa mahu santau kedua beranak itu. Kemudian terdengar bunyi motorsikal meninggalkan rumah mereka, dan budak tadi menggandakan raungannya semula. Darahku mula mendidih.

Rupanya, dia menangis kerana tidak dibawa bersama naik motor dengan adiknya. Dan, disebabkan ketidakprihatinan ibubapanya, jirannya yang hanya mahu sedikit kerehatan di hari minggu menjadi mangsa.

Sekali-sekala aku teringin nak jadi orang putih, yang asal saja ada gangguan, lodge a report. Biar aman dunia. Tapi, buat apa selfish begitu.

Memanglah banyak beza jiran yang bujang dan jiran bekeluarga. Namun, janganlah ambil mudah dalam banyak perkara. Bila namanya berjiran, prihatin dengan keselesaan jiran.

Tak bolehkah jaga anak supaya tidak memekak di pagi-pagi hari, lebih-lebih lagi kalau hari cuti? Kalaupun anak-anak itu bangun awal, sediakanlah aktiviti yang sepatutnya supaya anak tak mengamuk. Jangan sampai aku tempelak, buat anak reti, jaga anak hampes! Benci tau.

Janganlah kata aku ini mementingkan diri sendiri, atau tuduhkan aku "kau belum ada anak, kau tak tahulah rasanya." Ini adalah persoalan keadilan dan tolak ansur, hormat menghormati.

Mentangkan aku bujang, apakah aku boleh diganggu dengan teriak tangis anak jiran pada saat aku mahu berehat?

Mentangkan aku tiada anak, adilkah kalau kau menjerit-jerit memaki anak kau sampai terkeluar anak tekak?

Sifir apa yang kau pakai?

Dan, sampai saat ini, masih belum reda perasaan mahu membunuh itu. Dan, aku tak rasa aku bersalah kerana berperasaan demikian.

Thursday, October 30, 2008

Kalau kau tak de kerja, janganlah anggap orang pun tak de kerja macam kau jugak! %^&***

Sedang khusyuk buat kerja pagi tadi, skrin PC prompted ada message masuk. Tengok nama sender - aku tak kenal. Subjectnya, dia tulis "fw" sahaja. Bila kubuka, message tertulis:

"Salam boleh kenal?"

Anake sopo yo kae? Aku balas:

"Where did you get my email add?"

2-3 minit kemudian, dia balas:

"Adala dari kawan2"

Aku balas:

"Kalau nak kenal, cerita betul2 ... Kalau tak lupakan saja." Aku mula panas hati melayan benda begini.

Dia balas lagi:
"Saya K**** dari K****. Umur 30 tahun. Awak lak umo bape?"

WTF! Bodo*h. Umur 30, cara cam budak lelaki baru akil baligh! Eiiii ... benciii! Terus aku buat karangan 100 patah perkataan:

Salam,

Macam ni lah ye En. K ...

Saya ni busy, dan saya yakin En. K pun sama. Kalau sekadar hantar email cakap 2-3 patah, ia hanya akan mengambil masa saya, dan saya tak suka nak menggunakan email sebagai medium for chatting.

Kalau En. K serius, sila nyatakan secara profesional - latar belakang, tujuan nak berkenalan dan apa expectation En. K kalau kita jadi kawan.

Saya harap penjelasan ini tidak memberi maksud kepada En. K yang saya seorang yang sombong. Cuma, untuk meningkatkan efficiency dalam masa bekerja kerana semua ini mengambil masa kerja saya.

Lagi pula, takkan lelaki berumur 30 tahun, mulakan perkenalan seperti remaja berumur 15 tahun.

Kalau masih berminat, En. K boleh reply message ini. Kalau sebaliknya, saya memahami dan saya berterima kasih kerana En. K sudi menghulurkan persahabatan.

Sekian, terima kasih.

Wassalam

Dan, aku fikir dia pasti akan tersedar kesilapan majornya. Aku juga tidak berharap yang dia akan membalas lagi selepas ini.

Tapi, bila aku check email selepas solat maghrib, aih, ada lagi mamat ni. Tak serik ke dia ni. Dia tulis:
"Dah makan lum lagi ye?"

That's it! THAT'S IT!

Untuk masa-masa begini, aku langsung tak appreciate cara perkenalan yang tak semenggah begini. Kalau itu cerita semasa aku mula puber, mungkin aku terima ...

Apapun, tidaklah bermakna aku sombong dan garang bila berespon begini. Cumanya ... please lah ... tak bolehkah anda menyamar (walaupun tidak bagus begitu) menjadi seseorang yang matang seiring usia? Tunjukkanlah sedikit keintelektualan anda kepada saya kerana itulah penarik anda kepada saya!

Benci!!!!

Tuesday, October 28, 2008

Kala masa terlalu ada ...


Penantian itu satu kebosanan.

Lalu, kebosanan itu mendorong mata meliar-liar ... Jatuh pandang pada sesuatu yang agak biasa ... wah, rupanya kasut aku dan dia ... SAMA!

"Hi awak ..."

"Hi .. eh, sama la kita ..."

"Hmm .. aaa ..."

"Mesti awak beli kat EM tu, kan?"

"Eh, mana tahu ni ...?"

"Dah la Peesha. Merepek je kau ni ..."

Haha ..

Monday, October 27, 2008

Tahukah kamu?

Marhaen di tanda nama Parlimen


Tahukah kamu bahawa MPs kita itu, sekali hadir di Parlimen, biarpun hanya datang bertanya khabar dan memanaskan punggung tanpa berbahas apa-apa, dibayar RM300?

Tatkala menerima pengetahuan itu, terus otakku diterjah rasa ... "Hmmm ... 300 sekali datang, tanpa buat apa-apa? Kawasan tak dilawat, masalah rakyat tak juga selesai. Aduhai ... "

Semoga, wasangka buruk aku ini tiada asasnya.

Sunday, October 26, 2008

Hero lama

Biar gambar yang berbicara sahaja ...

Saturday, October 18, 2008

Kembali ...

Menerima pertanyaan seorang kenalan, Cikgu Yusof, kemana daku menyepi membuatkan aku rasa bagai tersedar yang aku mempunyai blog untuk di'update'. *wink *wink ...

Alasan klise yang berguna yang aku mahu berikan ... tiada masa, tiada idea.

Serius. Tiada masa.

Masa makin suntuk untuk menghabiskan silibus, menanda kertas ujian, mendengar presentation yang ntahapapantah dan menyediakan markah penilaian berterusan.

Seminggu sudah di KL - sehari menghadiri mesyuarat yang tiada kaitan dengan aku, tapi akhirnya aku jadi pak sanggup [nantilah aku cerita] -- kemudian, menjadi pengiring kepada rombongan Cik Kiah melawat Parlimen dan Putrajaya .... dan sebelum tu, cuti raya yang panjang bersama dengan masalah streamyx yang tidak sudah-sudah ... dan, lusa, perlu menghadiri Konvensyen selama dua hari ... semuanya bagai mahu menuntut masa yang tidak sedikit. Masa aku ada masa lapang yang terlalu lapang tu, tak de la kerja-kerja ni nak datang ... Sekarang ni, nak bernafas pun cam tak sempat je.

Validkah alasanku?

Apa pun, hingga ke saat ini, aku tidak mahu menukarkan apa yang aku lalui dengan apapun di dunia ini.

P/s: CIkgu Yusof ... ya, saya sihat. Alhamdulillah.

Monday, September 22, 2008

Yang lama tetap berharga ...

Ini adalah antara elemen yang memaknakan hari raya ku ... kad dikirim pengganti diri. Aku bersyukur kerana masih ada yang sudi mengutusinya ..

a) Kad dari Sue
b) Kad dari ex-student
c) Kad yang mahu kukirim kepada teman

Orang kata, kad begini bukan sekadar pengganti diri. Malah ia lebih daripada itu. Menggambarkan betapa si pengirim sudi bersusah payah untuk tujuan itu .. Maka, berian begini lebih bermakna ...

Bukanlah teknologi itu tiada faedahnya. Namun, yang lama tetap berharga sampai bila-bila kerana ia adalah sebahagian dari makna diri kita ...

P/s: Saat aku meneliti buku alamat lama kawan-kawan, hanya ada 6 nama sahaja yang masih boleh aku berutusan kerana yang lainnya aku tak pasti. Lantas, aku memikirkan .. betapalah lingkungan kawan-kawanku sudah mengecil, sedang aku baru 31 tahun hidup di dunia ini! Oh!

Thursday, September 18, 2008

Terima kasih ...

Semalam ada sahabat yang mahu meraikan ulang tahun kelahiranku (merangkap berbuka puasa). Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Sangatlah berbesar hati. Siapa lagi sahabat itu kalau bukan Puan Fathiyah atau lebih mesra disapa sebagai Fetty.


(L) Aku dan Fetty
(R) Fetty dan Kak Norm

Satu hakikat yang paling aku bersyukur, ke mana pun aku pergi, Allah sentiasa menganugerahkan aku dengan sahabat-sahabat yang sebenar sahabat ... sehinggakan membuatkan aku tertanya-tanya, apa yang aku buat sehingga Allah mentakdirkan begitu? Semoga aku akan menjadi hamba yang paling bersyukur.

Dua gambar di atas itu adalah bandingan imej Fetty - sebagai suri rumah dan sebagai pensyarah, antara sibuk di dapur, dan berhias untuk function.


Ini antara juadah yang dimasak Fetty.

Karipap - rupa memang hancus ... tapi rasanya superb. Tambahan saiz nya yang king, menyebabkan aku terus kekenyangan setelah makan karipap itu sebanyak 2 biji!

Main dish - Sambal ikan bilis petai, kerabu kacang botor dan grilled stuffed kembong. Semuanya best. Tiada dalam gambar, bubur nasi (nasi kanji, kalau ikut panggilan kami di utara). Setelah pekena 2 mangkuk kanji tersebut, aku terpaksa bangun untuk menyelesakan perut! Ahhh ...

Yang lain tu hidangan tambahan sahaja.

Benda-benda ini nampak simple .. namun, kerana kasih sayang seorang sahabat untuk sahabat yang lain, ia menjadi sangat sedap ... (tak tipu nih ... )



Dan, buat pertama kalinya aku memperkenalkan partner in crime ku, Kak SitiM, bersama Nuha Basyirah (Fetty's daughter) ...

Terima kasih itu sebenarnya kecil untuk sebuah perbuatan ini. Ia menjadi budi yang sampai bila-bila pun akan terkenang. Paling utama, ia membuatkan kita sentiasa akan merasa gembira dengan kehidupan dan berasa sentiasa disayangi walaupun pada saat kita terlalu 'down'.

Terima kasih, sahabat.

Wednesday, September 17, 2008

Will something nice happen to me?

Tuesday, September 16, 2008

Lagu yang kusuka ...

Finally - Fergie


Ever since I was a baby girl I had a dream

Cinderella theme

Crazy as it seems

Always knew that deep inside that there would come a day

When I would have to way

Make so many mistakes

I couldn’t comprehend

As I watched it unfold

This classic story told I left it in the cold

Walking through an open door that led me back to you

Each one unlocking more of the truth

I finally stopped tripping on my youth

I finally got lost inside of you

I finally know that I needed to grow

And finally my maze has been solved

Finally

Now my destiny can begin

Though it will have a different set

Something strange and new is happening


Finally

Now my life doesn’t seem so bad

Its the best that I’ve ever had

Give my love to him finally

I remember the beginning you already knew

I acted like a fool

Just trying to be cool

Fronting like it didn’t matter


I just ran away

On another face

Was lost in my own space

Found what its like to hurt selfishly

Scared to give of me

Afraid to just believe


I was in a jealous, insecure, pathetic place

Stumbled through the nets that I have made

Finally got out of my own way

I’ve finally started living for today

I finally know that I needed to grow

And finally know that



Lagu ini menjadi menarik padaku kerana muzik dan liriknya. Ia memberi erti tersendiri pada diriku.

Selagi masih ada hari esok, maka, harapan pasti boleh diletakkan. Jangan berhenti berharap.

Dan, yang penting ... jangan lupa untuk terus membina cita-cita ... kerana kita tidak tahu bila Allah akan memakbulkan cita-cita kita itu ...

Monday, September 15, 2008

Refleksi: Keindahan yang sering dikesampingkan






Menilai kecantikan bunga lalang ...

Kecantikan yang tidak ternilai atau kecantikan yang tiada nilai?

Sunday, September 14, 2008

Wednesday, September 10, 2008

Kebodohan sebuah kemaafan




Kita diajar ...
Kalau buat salah, mohonlah kemaafan.

Kita diberitahu ...
Kemaafan adalah dendam yang terindah ...

Kita dinasihati ...
Memberi maaf akan membuatkan kita gembira ...

Tapi ...

Adakah satu kesalahan mengatakan sesuatu yang memang betul?

Adakah kita perlu memohon maaf kerana kita memiliki keistimewaan dalam perlembagaan?

Adakah kita perlu memohon maaf kerana menjaga hati orang lain?

Adakah kita perlu memohon maaf kerana mahu memelihara sensitiviti orang lain, sedang sensitiviti kita seakan tiada makna?

Adakah kita perlu memohon maaf kerana orang pijak kepala kita?

Bukankah itu kebodohan yang melampau -- memohon maaf tanpa sebab?

Bodoh! Bodoh! Bodoh!

Aku benci kebodohan! Malah, berlebih lagi bagi kebodohan yang melampau-lampau begini! Dan, aku tidak mahu memohon maaf untuk perkara ini.

Pergi mampus sama kemaafan yang bodoh begini!!!

Saturday, September 6, 2008

Anugerah


Aku berbesar hati kerana Inche Art telah menominasikan blogku ini dengan award ni. Award yang pertama .. huhu. Walaupun jauhlah daripada Oscar, dan ala2 award di pesta hiburan Malaya sahaja, aku masih berbangga. Dan, award ni datang dengan a set of rules ...

Rules dia camnih:-“ANDA HENDAKLAH MENYEDIAKAN SATU UCAPAN BERANGAN ”

It has been done according to the following rules:
1. The winner may put the logo on her blog.
2. Put a link to the person you got the award from.
3. Nominate 5 blogs.
4. Put links to the blogs.
5. Leave a message for your nominees

Ucapanku:
Walaupun award ini tidaklah mengkaya dan menaikkan trafik blog saya, saya tetap berbangga kerana at last saya dapat award! Wohooooooo! Terima kasih Inche Art yang bersusah payah menominasikan saya! Terima kasih kepada binatang-binatang peliharaan saya yang sama-sama menyokong diri saya selama ini. Walau tiada sesiapa yang bersetuju dengan saya, tetapi merekalah yang banyak memberi kata peransang kepada saya. Saya pun tak mahu menerima award ini kerana tiada relevansinya kepada saya pada mulanya. Tapi, disebabkan mereka beriya-iya memujuk saya, maka saya terima benda alah ini buat mereka. Award ini untuk binatang peliharaan saya semua!Lihatlah donia ... lihatlah! ... Sekian sahajalah ucapan saya, ye ... majulah Malaysia.

Tapi, oleh kerana award ini adalah dedikasi khas saya kepada binatang-binatang peliharaan saya - Syed, Dinky, Butt, Gemok, Milly, Jant, Gebu dan Rain - saya menyerahkan urusan menominasikan award ini kepada mereka. Ikut suka merekalah kat sapa pulak mereka nak bagi ...

Hebahan terkini:
Disebabkan binatang-binatang peliharaan saya tidak mempunyai blog, dan saya tidak rela meminjamkan blog saya untuk kegunaan bersama, maka mereka dan saya tidak akan share award ni dengan sesapa. Mungkin lain kali lah ye ... Maaf zahir dan batin!

Friday, September 5, 2008

Kenapa ekkk ...?

Ada orang tanya, kenapa aku tak letak link sesiapa di dalam blog aku ni, macam yang orang lain buat, dan soalan itu berjaya membuatkan aku terfikir: "Ha ah la ... kenapa ekk?"

Kata orang tu lagi, kalau letak link, kan macam menunjukkan yang kita ini menghargai orang, mempunyai kawan dan bermacam-macam lagilah ... dan aku masih .. "Ha ah .. macam betul jugak ..."

Dan, kukira, inilah rasional ku ...

.. kadang-kadang saya singgah
.. kadang-kadang saya lalu saja
.. kadang-kadang saya mencatat
.. kadang-kadang saya berdiam

tapi ... jangan risau ... berapa banyak kadang-kadang tu ... dirimu tetap diingati dan dihargai ... bukan untuk kadang-kadang, tapi untuk selama-lamanya ...(",)


Anda boleh terima alasan ini?

Wednesday, September 3, 2008

Happy Belated 51st Merdeka, Malaysians!

Aku menunggu lama juga untuk membuat pengucapan ini. Namun, aku tiada cerita menarik untuk diungkapkan sehinggalah seorang teman mengirim email ini ... Renung-renungkan ...




--------------------------------------------


WHO CHOPPED DOWN THE CHERRY TREE?

Legend has it that George Washington, America's first president, chopped down a cherry tree in his youth. The story goes that George gives the tree a good swing and chops it down with an axe. His father sees the damaged tree and asks his son if he knows who did the deed. George is quoted bravely admitting the truth: 'I can't tell a lie, Pa; you know I can't tell a lie. I did cut it with my axe.'

Cherry tree


Below is a satire of how some Malaysian politicians circa 2008 may have reacted to the same question:

Abdullah Ahmad Badawi - 'I did not cut down the tree, I was just taking a nap underneath it.'

Najib Razak - 'I swear that I have never MET that tree.'

Hishamuddin Hussein Onn - '...but I only own a keris, not axe, how to cut down the tree?'

Dr Mahathir Mohamd - 'Apa nama cherry tree, yes, I chopped it down because, I don't like the idea of Pak lah sleeping under it.'

Chua Soi Lek - 'Yes it was me, I resign as caretaker of this orchard.'

VK Lingam - 'It could be me, it might have been me but I don't think its me.

Anwar Ibrahim - 'I did NOT do it, and I am not giving any DNA sample for you to plant on the axe handle.'

Mohd Khir Toyo - 'The new state government should just trim the grass and not waste time asking who cut the tree.'

Ahmad Said (Terengganu MB) - 'I chopped it because cherry trees are more expensive to maintain than durian trees.'

Azalina Othman - 'The cherry tree is not included under my tourism MOU so I cut it down and besides there were unauthorised signboards put up around the tree.'

Shabery Cheek - 'I challenge you to a debate on tree cutting.'

S Samy Velu - 'I chopped it because Hindraf members were using it as a meeting point."

Wira Ali Rustam - 'We have planted durian trees for 50 years and we will plant them for another 50 years, we do not need cheery trees, apple trees, pear trees and all these other foreign trees.'

Rais Yatim - 'You must see the bigger picture, Ahmad said cherry trees are expensive to maintain,Ali Rustam said that are against our national identity and I needed to test my new axe, so you see, it is a WIN-WIN situation all around.'

Sharir Samad - 'I cut the tree because we could no longer afford to subsidise it.'

Karpal Singh - 'The bigfoot creature did it.'

Bung Mokhtar - 'The big monkey did it'

Pandikar Amin Mulia - 'There is nothing in the standing orders against chopping cherry trees. Kinabatangan duduk,Bukit Gelugor duduk."

Khairy Jamaluddin - 'I did not do it, neither did the MatRempits. By the way, what's a cherry tree?'

Lim Kit Siang - 'Cherry tree also you don't know, you are an insult to Oxford!'

Nazri Abdul Aziz - 'Racist, racist, racist! When we cut down durian trees nobody made a fuss .Now...'

Malaysian Citizens - 'Oh for heavens sake! Somebody plant something before we all starve to death!'

---------------------------------------



Ironically, this is the truth how these politicians run our country now ... and aku sudah penat dan takut menjadi rakyat Malaysia.



Namun, kerana mu Malaysia, moga aku mampu memberi sebuah sumbangan kepadamu ... Selamat Menyambut Hari Merdeka, Malaysia!

Tuesday, September 2, 2008

Corat-coret Ramadhan #1

Gambar hiasan saja


Alhamdulillah, selamat sudah Ramadhan pertama. Dilalui dengan penuh kesabaran dan rasa tawadhuk (huhuhu) ...

Malam menjelma, keberkatan Ramadhan aku sambungkan dengan cubaan menunai Solat Tarawikh di masjid. Kenapa cubaan? Ini ceritanya ...

Kala aku dan Kak SitiM sampai ke masjid, bahagian jemaah wanita hampir penuh, namun masih ada tempat kosong yang strategik (i.e. dekat dengan kipas). Setelah mengambil sejadah ... kami pun mahu membentangkannya. Di depan kami ada lah seorang makcik dalam lingkungan 60-65 tahun yang sedang duduk melepasi garisan kuning karpet (maksudnya, punggungnya dah termasuk ke kawasan sujud barisan belakang). Kak SitiM dengan sopan memohon agar makcik itu bergerak sedikit ke depan supaya kami boleh membentangkan sejadah dengan baik. Dibalas oleh makcik itu (dalam dialek Terengganu):

"Nok kesok guane? Suruh aa orang belakang nun. Saye pun sepik (sempit) gak ..." (Ada ayat dia aku tambah untuk menimbulkan dramatik cerita ini!).

Translationnya:
"WTF! Can't you see ... I'm stuck here? You bloody foo**l! Just ask others to move. Leave me alone!#$%^&**~"

Teruslah Kak SitiM respond:
"Halah, sikit je gerak. Dalam kubur sok lagi sempit!" Auuuwww!!

Aku tak rasa makcik tu dengar. Ataupun, kalau dia dengar, dia just pekakkan telinga dia. Cubaan pertama!

Kemudian, selepas bilal melaungkan azan Isyak, jemaah mula berdiri dan saf di depan kami ada satu tempat bersejadah untuk seorang jemaah. Maka, pergilah seorang wanita yang duduk di sebelahku ke situ, dan meninggalkan sejadahnya. Kemudian, setelah dia sedar sejadahnya tertinggal di belakang, terus ditarik sejadahnya dan dibentangkan di atas sejadah tempat baru. Kebetulan malam tadi, sejadah tidak cukup, dan aku dan Kak SitiM berkongsi satu sejadah. Maka, tiadalah sejadah bersebelahanku itu, dan tempat itu lompong seorang. Mujur ada seorang nenek yang mengisi tempat itu. Tapi dia tak punya sejadah, hanya selendang putih untuk sujud. Aku dan Kak SitiM berpandangan sendiri. Aduh, apa salahnya kalau sejadahnya itu dibiarkan untuk jemaah lain guna? Atau, berikan saja sejadah tempat baru kepada kami di belakang ini. Cubaan kedua.

Bila Imam menyuruh merapatkan saf, aku seboleh mungkin 'menghimpit' nenek di sebelahku tadi, supaya saf tidak putus. Semakin kuhimpit, semakin dia menjauh pulak. Seolah-olah memberi message kepadaku ... "Apahal budak ni dok himpit-himpit aku nih? Isy ... isy ...". Setelah cubaan ku gagal, akhirnya aku menyambung solat sambil memastikan aku menyentuh bahunya sedikit. OK lah tu daripada hilang pahala jemaah. Cubaan ketiga.

Ha, sekarang fahamkah anda dengan cubaan-cubaan dalam menunaikan Solat Tarawikh ini?

Cubaan untuk menenangkan perasaan.

Cubaan untuk mencari khusyuk.

Cubaan untuk bersolat dengan peluh yang berjejeran ...


Memanglah Ramadhan bulan yang penuh dengan cabaran. Ya Allah, jadikanlah aku hamba yang sentiasa bersyukur! Amin.

Monday, September 1, 2008

September dan Ramadhan ini ...

Tahun ini September dan Ramadhan bermula serentak. Apa significantnya?

September selalunya memberikan perasaan yang istimewa buatku. Kenapa?

Antaranya, ia adalah bulan ulang tahun kelahiranku ... (oh ya, FYI, birthday aku tahun ni jatuh pada hari Nuzul Quran ... buatlah apa yang patut ye :p)!

Selebihnya, banyak juga perkara lain yang sering menggembirakan aku terjadi pada bulan ini.

Ramadhan - bulan yang terpenting dalam kalendar Islam - perintah puasa yang diwajibkan. Kata Rasulullah, "Sekiranya umatku tahu kelebihan Ramadhan ini, nescaya mereka akan mengharapkan sepanjang tahun itu adalah Ramadhan ..." (loosely translated).

Ramai yang mengharap keberkatan Ramadhan itu, namun berapa ramai yang kecundang memiliki keistimewaan itu. Aku, mungkin salah seorang daripadanya ...!

Haiya, haiya Ramadhan ...

Apapun, semoga Ramadhan ini lebih baik untuk kita berbanding yang lepas ... Dan, semoga Ramadhan ini bukan yang terakhir untuk kita ... InsyaAllah.

September ... will something nice happen to me?

Saturday, August 30, 2008

Gossip liar

Sebuah SMS yang aku terima pagi tadi:
"Jgn mrh ye mis nk tnya skt... Bdk2 ni smua dok ckp mis dh btunang. Btl?"

Arghhh ... gosip liar la pulak. Tak de ke aktiviti berfaedah budak-budak ni selain daripada menggosipkan diriku ini? Tahulah aku ni expiry date semakin hampir ... Tapi, syok juga ... serasa artis pun ada.

Aku balas ala2 artis: "No comment." Hehehe.

Persoalan yang tak pernah-pernah jemu ditanya orang dan yang paling jemu untuk aku jawab. Yang dok kisah sangat aku kahwin ke tak, apa ceritanya? Sampai masa, kahwinlah. Belum jodoh, nak kerobek kot mana! Tak faham-faham.

Sangat memilih? Memanglah ... berkahwin bukan perkara sehari dua. Kalau boleh sampai mati. Salahkah memilih kalau kita ada pilihan?

Kenapa memilih, umur dah lanjut? Berdosakah menjadi anak dara tua? Allah masukkan ke neraka kah kalau memegang label tersebut?

Takut nanti tua esok, tak ada yang jaga? Sekarang pun melambak orang tua dihantar anak-anak ke rumah kebajikan. Relevan pertanyaan itu?

Kenapa perlu dibimbang dengan perkara yang bukan dalam ilmu kita? Biarlah Allah yang menentukan. Ada hikmahnya Allah tidak mentakdirkan perkahwinan itu buatku sekarang. Mungkin Allah mahu mendidik aku menjadi lebih sabar ...

Mana ada manusia normal yang menolak fitrah berpasangan?

Kepada yang bertanya, sila buat laporan kepada Malaikat Jibril supaya aku ni cepat direzekikan dengan perkahwinan. Boleh?

Kalau tak boleh, shut up and blah!

Monday, August 25, 2008

Aku yang tidak mahu tidur ...

Mengapa, mataku tak terpejam
Walupun malam telah berlalu ...

Menunggu panggilan rindumu ...
Merdu suara mu memikat kalbuku ...


Weh, weh ... cam Kekasihku Seru la pulak ...

Memang lately, mata ini akan segar bugar bila masuk pukul 12am ... Tapi, kalau aku tidur sebelum tu pun, actually elok je ... Tapi, apa barang tidur awal-awal kan? Malam lah semua kesegaran terangsang!

Bila tidur tak tentu, hidup huru-hara ... Aku jadi tambah letih di siang hari.

Apa nak buat ni?

Friday, August 22, 2008

Seutas rantai dan sebuah memori


Rantai ini sudah lama – sudah hampir 24 tahun aku pakai. Banyak kenangannya.

Rantai ini sebenarnya adalah hasil tabungan aku selama setahun. Mak berkata, kalau aku mahu pakai rantai, aku harus simpan duit untuk tujuan itu. Maka, dengan jumlah 20 sen sehari, aku menabung dengan penuh taat di dalam tabung gajah ku, sehinggalah gajah itu kelihatan sangat berat untuk menampung syiling di dalamnya.

Bila tiba hari untuk memecah tabung tersebut, Pak telah menggergaji bahagian tapak kaki gajah untuk mengeluarkan duit. Setelah dikira, tabungan ku hampir mencecah RM250. Selang beberapa hari, mak kemudiannya memakaikan aku dengan rantai ini tanpa ada loketnya. Tapi, aku tetap gembira, kerana rantai ini hasil tabunganku sendiri. Pada kawan-kawan, dengan bangga aku menunjuk rantaiku. Namun, kegembiraanku tidak lama, kerana rantai itu disimpan oleh mak dengan alasan hanya boleh dipakai semasa hari raya. Dan, setiap hari raya aku menjadi teruja, kerana, setiap tahun, rantai itu akan bertambah kawannya ... subang, gelang, cincin dan sebagainya.

Aku sebenarnya tidak menyukai loket rantai tersebut kerana aku mengidamkan loket berlian rantai mak. Namun, mak mewajarkan bahawa, budak-budak tak elok pakai berlian berbutir kerana bila berlari-lari, mungkin berlian boleh tercicir. Masuk dek akal juga alasan itu. Maka, dengan berat hati aku menerima loket itu setelah setahun rantai tidak berloket.

Rantai ini walaupun telah bertahun, masih utuh ikatannya. Tidak pernah putus. Hanya sekali cangkuknya ditukar.

Seringkali bila mak tengok aku memakai rantai ini, sibuk betul dia menyuruh aku menukar dengan rantai yang lain. Siap offer nak tambah duit untuk mendapatkan rantai yang lebih besar dari rantai ini. Tapi, dia tak tahu, rantai ini akan begini selamanya selama aku memilikinya.

Lebih daripada itu, ia adalah hubungan cerita aku dan pak. Tiada yang akan faham dan kisah.
Dan, biarlah ia begitu.