Monday, April 7, 2008

Selamatkanlah mereka semua.

Sejak tersiarnya berita mengenai Sufiah Farooq - genius Matematik yang diterima masuk ke Universiti Oxford pada usia 13 tahun dan sekarang menjadi pelacur dengan bayaran GBP130/hour, banyak respon yang rata-ratanya memberi simpati dan doa berterusan untuk anak itu. Aku juga tidak terkecuali.

Namun, membaca artikel Ku Seman Ku Husin semalam di Mingguan Malaysia, hatiku tiba-tiba bersetuju dengan dia. Dengan Sufiah, kita sangat memberi perhatian, tapi untuk beribu lagi anak-anak gadis yang tidak genius yang terlontar ke profesion yang tertua di dunia ini, apa justifikasi kita?

Cerita Sufiah mengingatkan aku kepada perhatian yang diberikan kepada Aishah Nawawi (AKA Aishah Mahsuri). Ketika itu, Aishah yang didakwa generasi ketujuh lagenda Mahsuri diberi liputan besar-besaran. All of sudden, budak itu diberikan keistimewaan yang membuatkan ramai orang tertanya-tanya. Apa sumbangan dia? Kalau dia sekadar generasi daripada sebuah cerita lagenda, apa signifikasinya?




Aishah diberikan tempat di UIA. Dengar khabarnya, dia mendapat layanan bintang di sana - siap dapat laptop percuma diberikan oleh pihak Universiti (ehmm ... aku ex-UIA .. memang selalu dengar gosip begini!). Dan, yang paling hangin mendengarnya, Aishah tu tak payah bayar sesen pun belajar di situ! Lastly, Aishah dengarnya balik ke Thailand tanpa menamatkan pengajiannya.

Apa hal tu? Tak membara ke tax payer melihat duit mereka lebur begitu saja? I guess that's the perk of being descendent of somebody famous - tak kira la orang itu betul ataupun diragui kewujudannya. (Sedikit cemburu mula terasa kerana kita bukan anak orang ternama ... ).

OK, balik kepada cerita Sufiah tadi, kata Ku Seman, kita ini sibuk saja nak melihat orang yang jauh ... hanya kerana dia seorang math prodigy yang ibunya orang Malaysia, sedangkan di Malaysia banyak lagi kes-kes serupa itu yang tidak mendapat respon yang serupa kerana mangsa-mangsa itu bukan anak sesiapa. Tiada pun orang UMNO yang mengambil inisiatif untuk mengutip dana membantu anak-anak gadis Melayu yang terjebak. Kalau ada pun, orang perseorangan yang tidak segan silu menebal muka mendapatkan sumbangan daripada orang ramai.

Kenapa? Adakah kita terlepas pandang? Adakah kerana anak-anak ini tiada maknanya kepada kita? Adakah anak-anak ini hanya memalukan kita? Apa bezanya dengan Sufiah?

Persoalan subjektif yang akan mengundangkan pelbagai respon.

Pada aku, ini semua adalah keadaan yang sangat biasa bagi kita orang Malaysia. Kita mempunyai kecenderungan untuk berbangga dengan perkara yang tidak tentu.

Kita berbangga dengan benda-benda simbolik yang hanya mengenyangkan nafsu kita.

Kita hanya berbangga dengan mereka yang cemerlang di dunia luar hanya kerana mereka mempunyai setitik darah Malaysia, sedangkan tiada satupun tindakan mereka yang mereka nisbahkan kepada Malaysia.

Sudahlah, hentikanlah perasaan berbangga-bangga yang keterlaluan. Yang mana patut dibanggakan, kita buat. Yang tidak patut, tinggalkan saja.

Namun, walau apapun, aku masih mahu mendoakan kesejahteraan Sufiah walau apa pun yang dikatakan orang terhadapnya.





Semoga Adi Putra tidak menghadapi nasib yang sama. Amin.

Termenung aku memikirkan prioriti orang kita ini.

No comments: