Monday, March 31, 2008

Tragedi hidup Sufiah



LONDON 30 Mac – Sufiah Yusof, seorang kanak-kanak pintar matematik yang pernah menggemparkan dunia apabila layak memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, tidak putus-putus ditimpa nasib malang. Selepas bapanya, Yusof Farooq dipenjara atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas dua gadis berusia 15 tahun yang mengikuti tuisyen matematik di rumahnya, Sufiah pula kini dilaporkan menjadi pekerja seks. Tragedi yang melanda kanak-kanak genius itu dibongkar oleh wartawan News of the World yang menyamar sebagai pelanggan, di flat murah yang didiaminya di belakang lorong di Salford, Manchester. (Baca selanjutnya di UtusanOnline).

Sayang, kan?

Bila Sufiah muncul bersama keluarganya di TV Malaysia suatu ketika dulu, gambaran satu keluarga yang bahagia sangat menepati mereka. Semua orang bercita-cita menjadi atau memiliki keluarga seperti itu. Namun, selepas beberapa lama, gambaran itu menjadi mimpi buruk kepada mereka.

Kita tidak akan pernah mengetahui apa sebenarnya yang dialami oleh keluarga ini kerana masing-masing akan ada pendirian dan penceritaan yang tersendiri. Apa yang mampu kita kata, kasihan mereka.

Di mana sebenarnya silapnya?

Siapa yang bersalah?

Adakah anugerah Allah itu terlalu besar untuk seorang Sufiah?

Namun, Allah tidak pernah memberi cubaan yang melebihi kemampuan insan. Kerana Allah itu terlalu adil dan kita ini terlalu jahil untuk mencari hikmahNya. Biarpun kita mampu mewaraskan akal, namun terkadang, kita terbabas juga pemikiran.

Sufiah mungkin pintar dalam penaakulan matematiknya, namun, ketidakseimbangan persekitaran tidak mampu ditaakul dengan sewajarnya. Aku melihat dalam kes ini, emosinya sangat mempengaruhi inteleknya. Emosinya sangat dominan, maka, inteleknya hadir sebagai satu kenangan masa lalu. Hasilnya, inteleknya menjadi sia-sia.

Namun siapa aku untuk bicara selanjutnya. Sufiah itu aku rasa perlukan bimbingan emosi yang sangat mendalam. Dia memerlukan orang yang mahu mendengar tanpa perlu membalas apa yang dia kata. Dia memerlukan kita semua, yang tidak menghukum, tapi sudi membimbing tanpa prejudis. Sufiah hanya seorang anak yang kehilangan.

Kalaulah boleh dia aku pimpin semula …

No comments: