Wednesday, March 12, 2008

Menjadi Melayu di Malaysia pada hari ini

Semalam ada seorang teman menghantar SMS bertanyakan aku mengenai analisis keputusan PRU12 yang baru lalu. Beriya-iya benar dia mahu tahu, dan siap dia buat kesimpulan yang menyedihkan tentang masa depan orang Melayu.

Lalu aku teringat pada bait-bait lagu ini …


Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap diarus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Pribumi merintih sendiri.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutup lah hati terkunci mati,
Maruah pribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kini sudah tiada masa,
Majulah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayukan gagah dinusantara,
Melayukan gagah dinusantara.

Aku tak tahu asal lagu ini. Seingat aku, lagu ini sering kami lagukan semasa perhimpunan petang asrama waktu sekolah menengah dulu. Namun, apabila ke universiti, aku mendapat tahu lagu ini diharam untuk dinyanyikan kerana ia akan menyemarak sentimen membenci kaum lain di Malaysia ini, kononnya lah …

Malam tadi, semasa menonton Buletin Utama di TV3, aku merasa sakit hati apabila ada orang Melayu memohon (baca: mengemis) simpati pimpinan DAP untuk diberikan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada orang Melayu demi menjaga kepentingan bangsa Melayu. Menambah perit, golongan peniaga Melayu juga menyuarakan benda yang sama – memohon agar nasib peniaga Melayu terbela.

Kak SitiM membuat remark:
“I agak mesti orang-orang Cina tu akan kata: Now you know what is like to beg for your right. Serve your right! Puas hati tengok orang Melayu mengemis di tanah air sendiri!”

Kami sama bersetuju bahawa orang Melayu memang sangat lemah-lembut. Dalam nak minta hak sendiri pun masih nak guna perkataan “memohon” sedangkan bangsa lain tiada silu bila meminta. Lihat saja Hindraf dan Suqiu (betul ke tidak ejaannya?) - dengan tegas berkata “We strongly demand and urge the government …”

Toleransikah ini?

Atau, kebodohan yang sangat melampau?

PRU ke 12 memang mencerminkan apa yang rakyat mahu. Namun, persoalan utama, apakah sebenarnya yang orang Melayu mahu?

Kalau sekadar mahu pembelaan terhadap hidup mereka, aku tak rasa kita ini ‘melampau’ susahnya. Tapi, bila pucuk pemerintah jatuh ke tangan bangsa lain, adakah kita makin terbela? Berjayakah kita? Banggakah kita?

Negeri Perak mengemukakan calon DAP untuk jawatan MB. Aku harap Sultan Azlan Shah masih punya kewarasan dan kekuasaan penuh untuk menentukan perkara itu. Aku harap Undang-undang Tubuh Negeri masih relevan dan berkuasa untuk tujuan ini.

Ini bukan persoalan enteng untuk menerima sesiapa saja yang memerintah, tapi soal kelangsungan bangsa kita, tanah air kita. Rumah sendiri, tapi orang lain yang buat pandai! Bukankah persoalan maruah adalah persoalan penting dan keutamaan bagi kita orang Melayu? Dan sudah hilangkah perasaan itu?

Di akhirnya, aku sekarang merasa takut menjadi Melayu di Malaysia. Takut kepada tuntutan yang bukan-bukan. Takut kepada isu-isu keselamatan dan survival bangsa.

Apa yang harus kita lakukan?

Berdoa dan berteleku? Mungkin itu satu kewajaran bagi kita orang yang makin lemah?

Anda? Apa yang anda rasa?

1 comment:

Anonymous said...

selau juga dengar ttg isu ni sekarang...memang, kita ni org melayu penuh sopan santun...semua lemah lembut...tapi tulah...sebab lemah lembut kena buli...harap2 generasi baru lebih agresif walaupun dalam sopan santun...semoga kita semua yang berbangsa melayu dan islam khususnya bersatu utk capai ultimate aim utk aman bahagia demi hidup dunia akhirat