Friday, February 29, 2008

Peringatan yang selalu dilupakan

Sejak dua menjak ini makin banyak berita kematian yang aku terima – lebih terkesan sekiranya berita kematian itu adalah daripada kalangan sahabat sebaya. Seram sejuk dibuatnya.

Berita terkini: Seorang junior semasa aku di universiti. Tak sakit apa, tapi accident. Baru sahaja lepas pantang melahirkan anak ketiga. Al-Fatihah untuk Allahyarham Azizah Othman (Feb. 27, 2008).

Memikirkan kematian itu sudah seram. Tambah menyeramkan bila aku membaca artikel di dalam majalah ANIS (keluaran Mac 2008) yang menceritakan tentang ibu saudara Nabi Muhammad SAW – Fatimah binti Asad bin Hasyim. Ketika Fatimah meninggal dunia, diceritakan Rasulullah SAW telah memakaikan Fatimah dengan jubah baginda sambil menyatakan pada sekelian sahabat:

“Ku pakaikan jubah ini supaya ia dapat menemani beliau di dalam kubur.”

Yang terkesan di hati aku adalah pada kata-kata Rasulullah itu … “menemani beliau di dalam kubur” – aku jadi tersedar betapalah kubur kita nanti. Kelam, sunyi dan menakutkan. Suka ataupun tidak, kita akan mendiaminya. Sedang mereka yang paling dekat dengan Rasulullah diberi peringatan begitu, apalah halnya dengan kita ini. Lagha sahaja kehidupan.

Orang yang mengingati mati adalah orang yang cerdik – pesan Rasulullah.

Tapi, ingatan pada kematian bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Dan, secara logiknya, akal manusia selalu akan membuang ingatan yang tidak menyenangkan. Maka, jadilah hal kematian itu dikenang bila ada kematian dan dilupakan bila selesai mengenangkan si mati buat seketika.

Aku tidak berkata tentang sesiapa, tapi diriku jua. Alahai …!

“Ya Allah, kurniakanlah kami penamat yang menyenangkan …” AMIN.

No comments: